Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru penjawat awam berganding bahu, teruskan kesinambungan pentadbiran

SHAH ALAM, 14 JUN: Dato’ Menteri Besar menyeru penjawat awam negeri ini berganding bahu supaya dapat meneruskan kesinambungan dan kemakmuran Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu bukan sahaja menjadikan negeri ini terus makmur tetapi kekal bermaruah, mempunyai nilai ihsan serta bersanubari dalam hati.

“Insya-Allah dengan rangkuman kita buat dan lakaran disiapkan, saya yakin pentadbiran ini mampu diteruskan serta melengkapkan apa direncana dan dilakar bersama-sama.

“Bukan hanya Amir (Amirudin Shari), EXCO, Ahli Dewan Negeri tetapi semua penjawat awam daripada (gred) N19 sampai pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), pasukan beruniform dan semuanya marilah kita berganding bahu.

“Berganding bahu jadikan Selangor ini sebuah negeri maju membangun tetapi bermaruah dan mempunyai nilai ihsan serta bersanubari dalam hati dan jiwa,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, berucap pada majlis Amanat Khas Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Selangor, Amirudin menjelaskan kesaksamaan, berbudaya dan berilmu antara lima ciri asas yang perlu menjadi paksi penjawat awam Selangor dalam melaksanakan tugas.

Amirudin berkata ciri itu merupakan tunjang menjadikan Selangor sebagai negeri maju membangun dan bermaruah dengan nilai ehsan selain persaudaraan manusiawi, kewibawaan dan kecekapan serta musyawarah atau masyarakat demokratik.

“Nilai-nilai ini harus dilaksanakan dan menjadi pedoman kita di saat kita berdepan dengan krisis politik yang tidak ada kesudahan menerima gelombang perkauman yang menyakitkan dan kadang kala parah.

“Semua nilai ini harus ada dalam pentadbiran kerajaan Negeri sehingga akar umbi seperti ketua kampung dan pemimpin kita yang telah dilantik,” katanya.


Pengarang :