Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dam tetamu kehormat lain menyaksikan persembahan tarian singa sempena rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Selangor di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Stabil dan makmur asas kejayaan, jadikan Selangor destinasi utama pelabur

SHAH ALAM, 29 JAN: Kestabilan dan kemakmuran menjadi asas kejayaan Selangor menarik pelabur untuk menanam modal di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu terbukti apabila Selangor menarik pelaburan berjumlah RM25.7 bilion sehingga suku ketiga tahun lalu.

Menurutnya, negeri ini turut berjaya menarik 199 projek pelaburan perkilangan bernilai RM9.7 bilion yang dijangka memberi 11,600 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

“Pelaburan ini manifestasi keyakinan pelabur asing memilih Selangor sebagai antara destinasi pelaburan utama negara dengan ianya akan menjana ekonomi dan merancakkan lagi sektor pembuatan serta perkhidmatan di Selangor.

“Prestasi ini juga membuktikan kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri selain sokongan dan dukungan rakyat kepada pentadbiran ini yang berterusan,” katanya.

Beliau berucap dalam sembah ucapan sempena rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Selangor di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam di sini malam tadi.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Dalam pada itu, Amirudin berharap 2023 menjadi tahun lebih baik, makmur, aman dan sejahtera buat seluruh rakyat Selangor.

“Saya dan pimpinan negeri akan memastikan Selangor terus unggul sebagai negeri yang sentiasa maju ke hadapan dan membuktikannya sebagai ‘The Golden State of Malaysia’,” katanya.


Pengarang :