JPJ Selangor dibantu Trafik PDRM menjalankan Ops Merah di laluan motosikal di Petaling Jaya pada 12 Oktober 2021. Foto MUSTAKIM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Lapor LLM, konsesi segera jika ada bahaya di lorong motosikal

SHAH ALAM, 15 JUN: Pengguna lorong motosikal di lebuh raya diminta membuat aduan segera jika terdapat perkara membahayakan atau keperluan penyelenggaraan di laluan tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata aduan boleh dibuat kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau pihak konsesi supaya dapat diselesaikan segera.

“Memang kita dapat maklum balas daripada pengguna, lorong motosikal tidak sempurna. Tetapi usaha berterusan (penyelenggaraan) saya boleh beri jaminan (ia dilaksanakan).

“Beritahu segera supaya tindakan sepatutnya boleh diambil kerana urusan menyelenggara lorong motosikal termasuk dalam konsesi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden berhubung tindakan kerajaan mewujudkan laluan selamat kepada penunggang motosikal.

Dalam pada itu, Alexander memberi jaminan keselamatan semua pengguna jalan raya dibela selain memaklumkan segera kepada pihak berkaitan jika berlaku sebarang masalah.

“Kerajaan atau kementerian tidak kira bayar tol atau tidak, yang penting nyawa pengguna. Lorong motosikal ini walaupun tidak pakai tol, kita tidak pilih. Asal (berkaitan) nyawa kita buat yang terbaik,” katanya.


Pengarang :