AGENSISELANGOR

Usahawan Hijrah dipelawa sertai kelas Tiktok percuma, bantu tingkat jualan

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 15 JUN:  Usahawan yang berhasrat meningkatkan perniagaan melalui pemasaran digital dipelawa menyertai kelas strategi super TikTok 2023 anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) pada 19 dan 20 Jun ini.

Pengurus pembangunan usahawan Hijrah berkata pihaknya menyasarkan 40 usahawan di bawah naungan agensi itu menyertai program secara percuma sekali gus melahirkan usahawan berdaya saing.

“Menerusi program ini kita bantu usahawan yang masih mempunyai pinjaman dengan Hijrah mengurus kandungan perniagaan di platform media sosial berdasarkan aliran terkini video pemasaran.

“Hijrah turut menyediakan sesi praktikal dan kaedah yang mudah difahami supaya peserta boleh mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam kelas dengan segera,” kata Elyani Iza Zuber ketika dihubungi.

Jelasnya kelas dua hari yang dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman bertujuan memastikan penggunaan aplikasi berdasarkan kandungan strategi dan iklan berbayar membantu meningkatkan jualan dan perkembangan perniagaan menerusi platform TikTok.

Usahawan yang berminat boleh mendaftar menerusi pautan https://www.hijrahpro.my/app/s/6-supertiktok23zk1.

Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Cik Nur Firdaus di talian 011-6509 2127 atau Cik Farhana di talian 016-336 3862.

Setakat Januari hingga September tahun lalu, 5,795 usahawan menerima manfaat dari tujuh skim pembiayaan perniagaan bernilai RM92.37 juta yang ditawarkan Hijrah.

Hijrah menyediakan dana untuk membangunkan usahawan menerusi pelbagai skim pembiayaan seperti Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes.


Pengarang :