AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kutip jualan bazar Ramadan, raya tertinggi RM564.2 juta

SHAH ALAM, 16 JUN: Selangor mengutip hasil tertinggi bagi jualan bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan nilai RM564.2 juta daripada 12,668 gerai, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Johor berada di tangga kedua dengan nilai RM411.0 juta daripada 12,671 gerai dan Kuala Lumpur pula RM284.2 juta daripada 4,023 gerai.

“Ketiga-tiga negeri ini menyumbang 50 peratus kepada nilai jualan keseluruhan.

“Di peringkat daerah pentadbiran, Johor Bahru mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM207.6 juta, diikuti Petaling RM204.5 juta dan Klang RM87.4 juta,” kata jabatan itu dalam kenyataan.

Menurut Statistik Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2023, nilai jualan di seluruh negara meningkat 5.9 peratus kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion yang direkodkan tahun lepas.

Bagi prestasi bazar Ramadan, Selangor merekodkan jualan tertinggi RM451.4 juta, Johor (RM313.5 juta) dan Kuala Lumpur (RM264.3 juta).

Manakala peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi RM186.0 juta, Johor Bahru (RM148.3 juta) dan Ulu Langat (RM64.3 juta).

Bagi prestasi bazar Aidilfitri pula, Selangor turut mencatatkan nilai jualan tertinggi RM112.7 juta, Johor RM97.5 juta dan Melaka RM47.4 juta.

Manakala Johor Bahru menjadi daerah pentadbiran yang mencatat nilai jualan tertinggi iaitu RM59.3 juta, diikuti Klang (RM53.6 juta) dan Melaka Tengah (RM43.5 juta).

Jumlah tenaga kerja di seluruh negara bagi dua kegiatan tersebut tahun ini meningkat 30.3 peratus iaitu sebanyak 203,667 orang berbanding 156,361 orang yang direkodkan pada tahun lepas.

Selangor mencatatkan jumlah pekerja tertinggi iaitu seramai 6,105 orang, diikuti Johor (5,258 orang) dan Kedah (2,850 orang).

Laporan berkenaan disediakan berdasarkan tinjauan yang dijalankan antara 23 Mac hingga 22 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :