Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Surau All-Hidayah, Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras pada 18 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peniaga laksa, kuih manfaatkan Jualan Ehsan Rahmah beli bahan mentah murah

Oleh Nas Norziela Nasbah

KAJANG, 18 JUN: Seorang peniaga makanan memanfaatkan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri untuk membeli bahan mentah pada harga murah.

Norjuhaida Jantan, 37, program JER  (sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat) membantunya berjimat untuk membeli barangan seperti ikan dan telur bagi menyediakan jualan laksa dan kuih.

Norjuhaida Jantan ditemani anaknya membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Surau Al-Hidayah, Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras pada 18 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI.

“Kos ikan untuk membuat laksa mengikut tempahan ada kalanya mencecah RM50 namun dengan JER saya akan jimat RM20. Ini dapat mengurangkan sedikit modal yang perlu saya keluarkan kerana kebanyakan harga barangan mentah naik

“Saya juga pembuat dan menjual kuih. Jadi keperluan telur selain digunakan untuk isi rumah, harga yang ditawarkan sangat berbaloi,” katanya ketika ditemui di JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini, hari ini.

Bagi Salina Yusuf, 58, inisiaitf JER diakui membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan keluarganya.

“Perbelanjaan dapur keluarga saya agak tinggi.Saya tinggal bersama-sama anak, menantu dan tiga cucu.

“Syukur ada JER, barangan yang dijual memang murah. Contohnya ayam yang besar dijual dengan harga RM10, jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Begitu juga dengan sepapan telur dan beras yang harganya tidak akan dapat di luar namun di sini, rakyat dapat menikmatinya. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya.

Salina Yusuf, 58, bersama menantunya, Irnayetti Makruf membeli barangan di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Surau Al-Hidayah, Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras pada 18 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Sementara itu, kunjungan kali pertama ke JER membuatkan Huzaipah Ahmad, 74, cukup teruja melihat kualiti bahan mentah yang dijual cukup murah dan berbaloi.

Hadir bersama-sama suaminya, Othman Harun,81, pasangan warga emas itu sebelum ini hanya mendengar mengenai jualan murah negeri namun tidak berkesempatan untuk berkunjung kerana berdepan dengan pergerakan terhad.

“Hari ini, ia berlangsung betul-betul di kawasan rumah (Bandar Mahkota Cheras), jadi saya tidak mahu lepaskan peluang. Hari ini juga, saya belikan anak-anak barang keperluan memandangkan ada daripada mereka kena bekerja walaupun hari minggu.

“Cukup murah berbanding membeli di luar. Harap selepas ini, akan diadakan setiap minggu di kawasan rumah ini. Pasti ia akan membantu lebih ramai orang terutamanya mereka yang memerlukan,” kata pesara awam itu.

Pasangan warga emas Huzaipah Ahmad, 74 dan suaminya Othman Harun, 81, membeli barangan di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Surau Al-Hidayah, Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras pada 18 Jun 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

JER kendalian PKPS menjual seekor ayam standard RM10, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Menjelang Aidiladha hujung bulan ini, Kerajaan Negeri bercadang menambah penganjuran jualan murah barangan asas kepada 18 lokasi selama dua hari sebelum hari raya.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS dan Facebook PKPS untuk lokasi jualan.


Pengarang :