Oleh Azian Aziz
HULU KELANG, 21 JUN: Hampir 20,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang mendapat manfaat daripada 53 program jualan murah yang dianjurkan di kawasan itu sejak Januari lalu hingga hari ini.
Pembantu Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Azhar Halim berkata pusat khidmat masyarakat DUN kini sedang memohon dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk meneruskan jualan murah tiga kali seminggu selepas ini.
“Kita minta tiga kali seminggu bagi menampung permintaan yang banyak daripada penduduk.
“Kita juga mohon agar jualan murah ini dijalankan pada hujung minggu bagi memberi peluang kepada mereka yang bekerja untuk berbelanja sambil berjimat,’’ katanya ketika ditemui di Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Hulu Kelang di Surau Al-Taqwa, Taman Keramat di sini hari ini.
Menurut Halim pihaknya juga menyasar mengadakan jualan murah di flat kos rendah dan kawasan kampung kerana lebih ramai golongan kurang berkemampuan menetap di situ.
Sementara itu Penolong Pengurus Logistik PKPS Mohd Hasri Abu Hassan memberitahu hampir 300 penduduk datang berbelanja di jualan murah di sini.
“Seperti biasa lima barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur dan beras habis dijual sementara minyak masak masih ada baki 70 botol. Jualan tamat pada pukul 12.20 tengah hari,’’ tambahnya.
JER yang bertujuan meringankan beban rakyat menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Jualan murah itu adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.
Program Jualan Mega Rahmah Aidiladha dijadual berlangsung ini di enam lokasi pada 24 dan 25 Jun menawarkan lebih banyak barangan asas termasuk 12,000 ekor ayam dan 6,000 papan telur.
Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.