EXCO Pertanian dan Asas Tani Ir Izham Hashim merasmikan Pesta Memancing Bagan Lalang 2023 di Jeti Sirip Biru, Sepang pada 24 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGROKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri sedia pelbagai bantuan, program tingkat pendapatan nelayan

SEPANG, 24 JUN: Kerajaan Negeri sentiasa membantu dan menjaga kebajikan hampir 10,000 nelayan di Selangor menerusi pelbagai bantuan serta program menjana pendapatan.

EXCO pertanian dan industri asas tani berkata antara program yang dilaksana Kerajaan Negeri adalah melabuhkan14 tukun tiruan bagi meningkatkan hasil nelayan.

Menurut Ir Izham Hashim, inisatif bernilai RM350,000 itu dibuat di perairan Sepang dan Sabak Bernam pada setiap tahun.

“Kita mahu menyediakan tempat pembiakan ikan. Ia juga berfungsi menghalang penggunaan pukat tunda oleh bot tidak bertanggungjawab. Ini antara usaha kita meningkatkan hasil sekali gus memperkasa sektor perikanan,” katanya kepada Selangorkini.

Izham menambah Kerajaan Negeri turut meluluskan bantuan RM400,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan Sepang bagi kerja naik taraf Jeti Sepang Kecil.

Jelasnya, bantuan turut diberikan bagi pembinaan tiga unit jeti terapung di Kuala Selangor dan Klang dengan nilai keseluruhan RM3.6 juta.

“Segala usaha dan insiatif membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa cakna keperluan nelayan tetapi juga petani pelbagai dasar atau program bantuan,”katanya.

Terdahulu beliau menghadiri Pesta Memancing Bagan Lalang 2023 di Jeti Sirip Biru di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Seramai 200 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam acara tahunan dibawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) itu.

 


Pengarang :