Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat replika kuarters berpusat pada majlis pecah tanah Laman Lestari di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 26 Jun 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS bangunkan kuarters berpusat, muatkan ribuan pekerja industri

KLANG, 26 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membangunkan kuarters pekerja berpusat (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman di sini, dengan kos keseluruhan berjumlah RM120 juta.

Dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini, projek pembangunan Laman Lestari atas tanah seluas 4.35 ekar mampu memuatkan 5,712 pekerja tempatan dan asing di 336 unit kuarters.

Bakal mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, ketua pegawai eksekutifnya berkata pembinaan itu bagi memupuk persekitaran hidup berkualiti dan mampan untuk pekerja migran di negeri ini.

Dato’ Mahmud Abbas menjelaskan usaha itu juga bagi menangani isu pekerja di kawasan terbabit, yang tinggal berselerak di pangsapuri berhampiran berikutan tiada penginapan khusus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri, tengah) menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Dato’ Mahmud Abbas (tiga kanan) bersama wakil PKNS FM Integrated (dua, kiri) dan Inter Great Sdn Bhd (dua kanan) pada majlis pecah tanah Laman Lestari (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 26 Jun 2023 Foto MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI

“Pembangunan CLQ akan memenuhi keperluan pekerja industri di kawasan ini, yang menjadi aset kepada pembangunan industri di Selangor,” katanya pada majlis pecah tanah di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, yang turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Inter Great Sdn Bhd dan PKNS FM Integrated Sdn Bhd bagi pelaksanaan projek terbabit.

Setiap unit CLQ dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air dan tempat makan khusus, yang akan disewakan kepada pekerja dengan anggaran yuran bulanan RM350 seorang.

Kemudahan asas lain yang tersedia termasuk perabot, lampu, kipas, dapur elektrik, meja, kerusi, katil, tilam, bantal dan almari berkunci selain medan selera, surau serta ruang terbuka.

 


Pengarang :