Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS FM Integrated dan Pengerusi Inter Great Sdn Bhd, Datuk Megat Fairouz Megat Tan Sri Junid pada Majlis Pecah Tanah Taman Lestari (CLQ) di Bandar Sultan Suleiman, Klang pada 26 Jun 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN / SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: PKNS diunjur capai keuntungan ketara, jadi pemangkin ekonomi negeri

KLANG, 26 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diunjur mencapai keuntungan operasi ketara tahun ini, sekali gus menjadi pemangkin ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata perkembangan itu memudahkan pembangunan projek perumahan dan bandar baharu termasuk kuarters pekerja berpusat (CLQ) di beberapa kawasan dikenal pasti.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan keuntungan konsisten perbadanan terbabit turut membantu mewujudkan peluang kerja selain menyokong pelbagai sektor ekonomi.

“Memandangkan PKNS terlibat dalam pembinaan, hartanah dan aktiviti berkaitan keuntungannya merangsang pertumbuhan sektor-sektor ini.

“Pembangunan hartanah kediaman dan komersial baharu juga meningkatkan sektor hartanah, menarik pelaburan serta memacu aktiviti ekonomi,” katanya berucap pada majlis pecah tanah CLQ di Bandar Sultan Suleiman di sini hari ini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan 15 tahun untuk PKNS meneruskan peranan sebagai penyumbang dan pemangkin ekonomi Selangor.

Amirudin berkata pelan jangka panjang itu mencerminkan komitmen bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan berterusan negeri ini.

“PKNS mempunyai fokus dan hala tuju jelas dalam memacu pembangunan dan pertumbuhan baharu khususnya untuk 50 tahun akan datang.

“Perspektif jangka panjang ini membolehkan PKNS merancang dan melaksanakan inisiatif mampan yang akan menyumbang kepada kemajuan negeri berterusan dalam dekad akan datang,” katanya.


Pengarang :