Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bukit Antarabangsa, Banting antara sembilan lokasi jualan murah barangan asas esok

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 26 JUN: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke sembilan lokasi esok.

Jualan Ehsan Rahmah (JER) bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu berlangsung di medan selera Tasik Biru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang dan tapak pasar malam Jalan Pandan Indah 3/4 (DUN Pandan Indah).

Jualan sama turut diadakan di Seksyen 27 (DUN Sungai Ramal), gelanggang bola keranjang Jalan TPP 1/24, Taman Perindustrian Puchong (DUN Kinrara) dan tapak pasar malam Ukay Perdana (DUN Bukit Antarabangsa).

Penduduk membeli barangan keperluan dapur program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Seri Serdang di Surau Nurul Huda, Kampung Kenangan, Puchong pada 21 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Program sama turut berlangsung di Dewan Cengal MBSA Jalan Cili Hijau 24/27 Seksyen 24 (DUN Batu Tiga), Dewan Palembang Rantau Panjang (DUN Sementa), Kampung Raja Uda (DUN Selat Klang) dan bawah jambatan Telok Datok, Banting (DUN Banting).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Jualan murah itu adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata empat juta penduduk Selangor menerima manfaat JER sejak dianjurkan September tahun lalu hingga kini.

Orang ramai membeli barang keperluan asas di Program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 24 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Jualan murah berkenaan turut memberi penjimatan RM23 juta menerusi pemberian subsidi oleh Kerajaan Negeri dan PKPS menerima jumlah jualan RM45 juta dalam tempoh sama.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :