KUALA LANGAT, 2 JULAI: Agihan kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) kini selesai.
Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya kini menyerahkan sepenuhnya ketetapan tersebut kepada Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagi kami di Selangor telah selesai dan serahkan kepada pusat, mereka akan bincang serta tentukan.
“Boleh tanya Pengerusi HARAPAN sebab sekarang dalam tangan mereka,” katanya selepas merasmikan taman tema air Splash Mania di Gamuda Cove di sini hari ini.
Pada 23 Jun lalu, Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar untuk membuka laluan PRN diadakan.
Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada 24 Jun, HARAPAN Selangor melancarkan jentera yang membawa slogan #arusmerahkuning bagi mendepani menghadapi PRN yang dijangka Ogos depan.
Kedudukan terkini kerusi sebelum DNS dibubarkan ialah HARAPAN memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, AMANAH-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.
Satu lagi kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DNS melebihi enam bulan.