Peserta yang menyertai Run For Peace di Padang Awam Taman Klang Jaya, Klang pada 2 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

8,000 sertai larian keamanan MPK, Soka Gakkai Malaysia

Oleh AMIRUL FAZLI

KLANG, 2 JULAI: Seramai 8,000 peserta menyertai Larian Keamanan 2023 anjuran bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Padang Awam Klang awal pagi ini.

Yang Dipertua MPK Noraini Roslan berkata beliau menghargai usaha pertubuhan terbabit bagi membawa mesej keamanan dan kedamaian tanpa mengira kaum serta jantina.

“Bulan ini adalah edisi yang ke-10 dan 55,000 penyertaan telah diterima melibatkan 23 lokasi di seluruh negara.

“Usaha baik ini sejajar dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang ingin melihat perpaduan dalam program yang dianjurkan di Selangor,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Program melibatkan aktiviti larian lapan kilometer (km) dan senamrobik selain MPK membuka khemah untuk orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan penguatkuasaan.

Noraini turut menyeru orang ramai menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Daripada mengurangkan pembaziran sehingga menyokong acara tempatan yang mesra alam kerana setiap langkah kecil kita membawa perubahan yang besar,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan melakukan gimik perasmian sempena Run For Peace di Padang Awam Taman Klang Jaya, Klang pada 2 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengerusi Soka Gakkai Malaysia cawangan Selangor, Steven Chee Hoon Teck berkata lebih 360,000 pencinta keamaan sudah menyertai program larian ini sejak 2005.

“Objektif utama adalah ‘Keamanan bermula dengan saya!’, ia menekankan perubahan positif bermula daripada setiap individu.

“Setiap tindakan mereka boleh menyumbang kepada kewujudan keharmonian dan keamanan dalam komuniti, masyarakat serta negara termasuk dunia,” katanya.


Pengarang :