Penduduk tiadak melepaskan peluang membeli barangan keperluan dapur pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sementa, Klang pada 3 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah DUN Sementa dapat sambutan, penduduk luar turut kunjungi

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

KLANG, 3 JULAI: Jelajah Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Balai MPKK Kerayong 2 di sini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 300 pengunjung termasuk penduduk dari luar DUN berkenaan.

Pengunjung R Valiamah, 48, yang ditemani anaknya sanggup datang dari kapar ke lokasi jualan murah berkenaan bagi mendapatkan barangan dapur seperti beras, minyak, telur dan ayam.

R Valiamah, 48,

“Berbelanja di jualan murah dapat jimat banyak berbanding beli di pasaran luar. Di jualan murah ini, beras lima kg, ayam seekor dan telur sepapan masing-masing dijual pada harga RM10 sahaja.

“Cuma hari ini saya rasa gembira kerana dapat membeli lebih barangan daripada biasa dan berharap program ini dapat diteruskan bagi membantu orang ramai terutamanya yang kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu Mishan Kiman, 62, berkata beliau tidak melepaskan peluang mengunjungi setiap program JER yang dilaksanakan berdekatan rumahnya dan ini kali kelima berkesempatan berbelanja di jualan murah berkenaan.

Mishan Kiman, 62,

“Memang banyak boleh dijimatkan dengan adanya program ini malah bekalan makanan tidak pernah terputus walaupun ekonomi tidak begitu baik.

“Sekurang-kurangnya stok telur sentiasa ada di rumah untuk menjadi hidangan kami sekeluarga,” katanya.

Bagi Siti Maswati jalil, 57, meskipun baru pertama kali mengunjungi JER, beliau mengakui berbaloi berbelanja dan berharap jualan berkenaan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Siti Maswati Jalil, 57,

“Program yang sangat baik untuk orang ramai mengurangkan beban kewangan. Tambahan pula untuk isi rumah yang seramai tujuh orang seperti saya memang dapat menjimatkan belanja.

“Saya berharap pada masa akan datang lebih banyak produk makanan kering seperti sardin dapat ditawarkan dalam jualan JER,” katanya.

JER menjual seekor ayam standard RM10, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Jualan yang dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat sebelum ini, akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


Pengarang :