Penduduk sekitar DUN Lembah Jaya membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah di Pasar Juadah Apartmen Taman Sri Bayu, Ampang Jaya pada 5 Julai 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

300 ayam, 200 papan telur terjual dalam 30 minit di JER DUN Lembah Jaya

Oleh DIANA ABD WAHAB

AMPANG JAYA, 5 JULAI: Sebanyak 300 ekor ayam dan 200 papan telur terjual dalam tempoh 30 minit pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di sini hari ini.

Penolong pengurus logistik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata selain dua barangan itu pihaknya turut membawa 300 pek daging, 150 botol minyak masak lima kg dan 300 pek ikan kembung.

Penolong Pengurus Logistik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Mohd Hasry Abu Hassan. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Hari ini tiada pengunjung pulang dengan tangan kosong walaupun datang lewat memandangkan bekalan barang yang dibawa mencukupi,” kata Mohd Hasry Abu Hassan.

Bertempat di Pasar Juadah, Apartment Taman Sri Bayu di sini, jualan murah kendalian PKPS dihadiri lebih 300 pengunjung dengan sebahagiannya sudah memenuhi khemah jualan sejak 8.30 pagi.

Mohd Hasry turut memaklumkan program yang dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat meraih nilai jualan hampir RM20,000.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :