AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 20 kali kunjungi JER, penduduk puji usaha negeri ringankan beban

Oleh SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) terbukti meringankan beban isi rumah apabila ramai penduduk berulang kali mengunjungi program berkenaan.

Peniaga Siti Mura Muhammadiah, 47, berkata dirinya sudah lebih 20 kali berbelanja di jualan murah berkenaan bagi mendapatkan barangan dapur berkualiti pada harga yang sangat berbaloi.

Siti Mura Muhammadiah

“Kerajaan Negeri sudah buat yang terbaik, persepsi negatif mengatakan program ini sekadar gimik atau kempen adalah tidak benar.

“Saya sudah lebih 20 kali berbelanja di JER dan melihat ramai golongan mengunjunginya, ramai dapat manfaat termasuk keluarga susah,” katanya yang turut berharap jualan berkenaan diteruskan.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Parlimen Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah, Ampang Jaya pada 6 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Beliau antara 600 pengunjung yang hadir bagi mendapatkan barangan keperluan asas murah pada JER peringkat Parlimen Ampang di Dewan MPAJ, Kampung Ampang Indah di sini, pagi tadi.

Pandangan sama turut dikongsi juruwang Suryati Sabari, 43, dari Ampang Saujana yang mengakui program berkenaan menampung kos perbelanjaan dapur keluarganya yang mencecah sehingga RM300 setiap minggu.

Suryati Sabari

“Saya dapat jimat banyak beli-belah di JER ini, lebih dari separuh. Walaupun ada yang kata beza harga hanya RM3 saja tapi bagi kami yang kurang kemampuan ini cukup bermakna,” katanya yang mempunyai lima anak dan dua daripadanya masih bersekolah.

Sementara itu, bagi Ahli Majlis MPAJ Zon 11 Muhd Iman Haziq, pihaknya turut merancang dua lagi program JER sekitar Ampang Jaya sepanjang bulan ini.

“Kita rancang dua lagi JER namun masih menunggu tarikh sebenar daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Program ini sangat diperlukan penduduk kerana ada tiga kampung dengan majoriti penduduk Melayu dan keluarga kurang berkemampuan (B40) dalam zon 11 ini,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah, Ampang Jaya pada 6 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :