Orang ramai tidak melepaskan peluang berbelanja di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Shah Alam di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, Shah Alam pada 9 Julai 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga Shah Alam teruja berbelanja di jualan murah, akui dapat berjimat

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 9 JULAI: Cuti hujung dimanfaat sebaiknya warga Shah Alam untuk berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Cengal MBSA, Seksyen 24, di sini, hari ini.

Pengecat kereta Lee Tee Ming, 55, yang kali pertama berpeluang mengunjungi jualan murah mengakui begitu teruja melihat barangan yang dijual 30 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran.

Lee Tee Ming, 55

“Ahli keluarga dan kawan-kawan sering memberitahu saya jualan ini sangat murah, namun saya tidak berkesempatan kerana sibuk. Hari ini saya berpeluang hadir, memang rasa berbaloi kerana murah contohnya telur sepapan hanya RM10 sahaja,” katanya.

Beliau antara 400 pengunjung yang sebahagiannya mula beratur sejak 8.30 pagi bagi mendapatkan nombor giliran sebelum jualan murah peringkat Parlimen Shah Alam dibuka 10.00 pagi.

Mazlina Tajudin, 39

Sementara itu, suri rumah Mazlina Tajudin, 39, berkata dirinya sering membeli minyak masak dan beras setiap kali berkunjung ke JER kerana harga yang ditawarkan sangat berbaloi.

“Saya berharap program ini (JER) dapat dilaksanakan kerap di kawasan ini kerana ia membantu meringankan beban lebih ramai keluarga terutama mereka yang berpendapatan rendah seperti saya sekeluarga,” katanya.

Surina Idris, 54

Penjawat swasta, Surina Idris, 54, pula mengakui dapat berjimat setiap kali berbelanja di JER sekali gus dapat menampung kos perbelanjaan lain dalam membesarkan empat orang anaknya.

“Dengan JER, saya dan suami dapat berjimat sehingga 50 peratus untuk membeli keperluan asas untuk seminggu atau lebih. Saya cukup terharu dengan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan hidup rakyat sejahtera,” katanya lagi.

Jualan murah kendalian Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Mulai 15 Julai, perbadanan berkenaan bakal menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pengurus Kanan Pemasarannya Mohd Fazir Abdul Latif berkata buat permulaan minyak paket itu dijual secara berperingkat di tiga lokasi JER terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :