Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berucap ketika Jelajah Madani Harapan DUN Bukit Melawati di tempat letak kereta Hotel Sun Inns Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dasar progresif selesai isu gaji, bantu rakyat depani kos hidup tinggi

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Dasar gaji progresif akan diperkenal kerajaan persekutan bagi memastikan pekerja dalam semua sektor menikmati kenaikan gaji tahunan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata dasar tersebut dirancang bagi merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji rakyat dengan kenaikan kos sara hidup.

“Selepas ini kita akan ada dasar gaji progresif yang membolehkan pekerja menikmati gaji tahunan.

“Kerajaan perlukan satu dasar supaya gaji naik secara berkala dan ini melibatkan insentif daripada kerajaan,” katanya pada Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, malam tadi.

Menurut Rafizi, kerajaan tidak pernah mempunyai satu dasar khusus berkaitan gaji pekerja sebelum ini dan menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada majikan.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan rakyat semakin terbeban dengan harga barangan semasa walaupun inflasi kenaikan tersebut pada tahap memuaskan.

“Sebenarnya inflasi kita baik dan naik dalam keadaan terkawal. Tetapi apabila isu gaji tidak diselesaikan puluhan tahun, jurang itu menjadi semakin besar.

“Selepas kita selesaikan isu gaji ini, insya-Allah kita tumpu pula projek-projek lain. Sekarang ini, sebahagian besar tugas saya hanya tumpu isu dan ekonomi rakyat,” katanya.

Bulan lalu, Rafizi dilaporkan berkata kertas Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk memastikan pertumbuhan gaji rakyat lebih inklusif.

 

 


Pengarang :