Orang ramai mendengar ceramah pada program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing pada 12 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tolak parti amal perkauman sempit, kekalkan kerajaan sedia ada di Selangor

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Rakyat perlu tegas menolak parti yang mengamalkan perkauman sempit dan menyentuh sensitiviti agama daripada mentadbir negeri atau negara.

Ahli majlis tertinggi Umno berkata sentimen itu sering dimainkan pembangkang kononnya kerajaan perpaduan mengikut telunjuk DAP, yang juga gabungan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menafikan perkara itu, Lokman Noor Adam menjelaskan parti berkenaan dilihat menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan serta menghormati hak istimewa Melayu.

“Perikatan Nasional (PN) kuat main sentimen kononnya bawah kerajaan perpaduan, Islam akan terancam dan diabaikan. Sekarang saya nak tanya berapa ramai Islam dimurtadkan oleh DAP? Tiada.

“Berapa banyak sekolah tahfiz yang ditutup? Tiada. Malah, DAP sendiri bagi jaminan mereka hormat apa yang terkandung dalam perlembagaan dan kontrak sosial,” katanya.

Berucap pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang malam tadi, Lokman berkata Selangor jauh mengatasi negeri lain dengan prestasi pelaburan tertinggi tahun lalu.

“Pelaburan di Selangor mencanak naik daripada negeri lain, lebih maju. Justeru, pada pilihan raya negeri kali ini kita harus pastikan kerajaan sedia ada dikekalkan,” katanya.


Pengarang :