Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai selepas majlis perasmian Jaringan Usahawan Bizclub : Bizmatch Mega 2.0 di Dewan Raja Muda, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Usahawan bimbingan PKNS catat hasil jualan hingga 75 peratus, tembusi pasaran antarabangsa 

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 14 JULAI: Usahawan yang mendapat bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Unit Pembangunan Usahawan (BPU) berjaya meningkatkan perniagaan mereka dengan hasil jualan mencecah hingga 75 peratus.

Pengasas Qidot Kafe Jehan Ja’afar berkata keputusan untuk menyertai latihan usahawan PKNS pada 2019 mengubah perniagaannya dengan jualan mencecah 75 peratus serta mengembangkan produk hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengasas Qidot Kafe Jehan Ja’afar ditemui dalam Program Bizmatch Mega 2.0 Himpunan Usahawan Selangor pada 13 Julai 2023. Foto Ihsan PKNS

“Saya usahawan PKNS sejak 2019, bimbing saya dari kosong hingga berilmu dalam perniagaan makanan, dibimbing untuk kuatkan asas perniagaan, modul latihan merangkumi teknik pemasaran.

“Hasilnya jualan saya meningkat dari RM50,000 ketika mula perniagaan pada 2016 dan kini cecah RM200,000 serta produk minuman kami dapat permintaan dari luar negara seperti Hong Kong dan Indonesia hasil bimbingan PKNS,” katanya ditemui dalam Program Bizmatch Mega 2.0 Himpunan Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda, Shah Alam di sini semalam.

Program itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif iChantique Norlaili Abdul Rauf berkata perniagaan produk kecantikannya berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui latihan dan bimbingan pemasaran produk oleh PKNS.

“Sejak saya mula memasuki BizClub PKNS ini saya dapat lebih banyak peluang untuk luaskan produk ke pasaran antarabangsa hingga ke Indonesia yang membuka potensi untuk perniagaan saya.

Ketua Pegawai Eksekutif iChantique Norlaili Abdul Rauf ditemui dalam Program Bizmatch Mega 2.0 Himpunan Usahawan Selangor pada 13 Julai 2023. Foto Ihsan PKNS

“Perubahan dari segi jualan dalam tempoh enam bulan mencecah 55 peratus jualan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan PT World Mark Indonesia Saiful Azran berkata inisiatif program usahawan PKNS membuka peluang untuk menerokai pasaran antarabangsa hingga meningkatkan pendapatan serta kekal berdaya saing.

“Inisiatif Kerajaan Negeri dan PKNS telah membawa usahawan untuk kekal relevan dalam perniagaan dengan melihat keadaan ekonomi semasa.

Pengarah Urusan PT World Mark Indonesia Saiful Azran ditemui dalam Program Bizmatch Mega 2.0 Himpunan Usahawan Selangor pada 13 Julai 2023. Foto Ihsan PKNS

“Ia merancakkan semula perniagaan sekali gus memberi nafas baharu kepada usahawan dalam menjana semula pendapatan selepas pandemik Covid-19,” katanya.


Pengarang :