Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik timbalan ketua polis negara berkuat kuasa 23 Jun 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Warga PDRM perlu kritis, inovatif dalam melaksanakan tugas, selesaikan isu

KUALA TERENGGANU, 14 JULAI: Warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan agar sentiasa berfikiran kritis dan konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab serta kreatif dan inovatif dalam mencari penyelesaian apabila berdepan sebarang isu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tanggungjawab yang digalas warga PDRM, bukan hanya tertumpu kepada usaha mengurangkan indeks jenayah atau menjaga ketenteraman awam, tetapi turut meliputi pengukuhan pasukan dari aspek modal insan dan keperluan logistik.

“Pucuk pimpinan amat menggalakkan warganya untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta arif dengan penugasan yang dilakukan, di samping mempunyai keseimbangan rohani dan jasmani ketika mendepani masyarakat yang semakin peka hari ini.

“Dalam mendepani kesibukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Alhamdulillah kita masih dapat meneruskan agenda inovasi pasukan sebagaimana yang telah direncanakan. Penganjuran Hari Inovasi PDRM 2023 ini mencerminkan komitmen pasukan dalam memenuhi hasrat kerajaan ke arah membudayakan inovasi dalam tugas harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Inovasi PDRM 2023 di sini, semalam.

Ayob Khan berkata sambutan yang bermula sejak 2010 itu merupakan inisiatif berterusan PDRM dalam mengiktiraf garapan idea warga pasukan seterusnya diterjemahkan melalui penghasilan produk dan perkhidmatan yang disuntik elemen inovasi agar memberi impak kepada organisasi dan masyarakat.

“Menerusi platform pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif, idea dan ciptaan baharu dihimpunkan sebagai penyelesaian permasalahan berperanan menambah baik produk serta perkhidmatan sedia ada, bertepatan dengan tema sambutan kali ini iaitu ‘Inovasi Transformasi Perkhidmatan PDRM’,” katanya.

Tahun ini, PDRM menerima 39 penyertaan dari seluruh negara dengan 11 daripadanya layak ke pusingan akhir membabitkan dua kategori iaitu penciptaan dan penambahbaikan.

Bagi kategori penambahbaikan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) muncul sebagai johan menerusi projek ‘My Bayar Saman PDRM’ yang memudahkan urusan pembayaran saman oleh masyarakat secara dalam talian selain berupaya meningkatkan integriti warga pasukan.

Projek Dr Ghaz Sensor (DRGS), yang berfungsi mengesan pergerakan pendatang asing tanpa izin dan menghantar amaran ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara oleh PGA Briged Sarawak, dinobatkan johan bagi kategori penciptaan apabila berjaya mengurangkan indeks jenayah pendatang asing dan isu penyeludupan rentas sempadan.

– BERNAMA


Pengarang :