Orang ramai membeli barangan keperluan asas dalam program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.
AGENDANASIONAL

Jualan murah dinanti ramai, inisiatif terbaik kurang beban rakyat

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SUBANG JAYA, 15 Julai: Kualiti barangan serta harga lebih murah antara faktor program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sentiasa dinantikan orang ramai.

Suri rumah Cindy Ching, 45, berkata, setiap minggu beliau menyemak lokasi JER khususnya di sekitar Puchong dan kawasan berdekatan menerusi Facebook Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) supaya tidak terlepas mengunjungi program berkenaan.

Cindy Ching, 45, ditemui dalam program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

“Ini kali ketiga saya datang ke jualan murah ini, kali pertama saya teruja sebab tidak sangka dapat beli barang berkualiti dengan harga murah, jadi sejak itu saya tidak mahu terlepas peluang ini.

“Setiap kali datang, saya beli ayam, ikan, telur saiznya besar dan dijual RM10 satu papan,” katanya ditemui di JER Puchong di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Bandar Bukit Puchong hari ini.

Keadaan sama turut dikongsikan suri rumah Nurul Syamimi Zulkifli, 37, yang mengakui dapat manfaat melalui program jualan murah itu.

“Dengan harga RM10, saya dapat seekor ayam berat sehingga 1.8 kilogram, jadi memang berbaloi terutama untuk keluarga ramai.

Nurul Syamimi Zulkifli, 37, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

“Sebab itu, saya tidak akan melepaskan peluang membeli barangan dapur di sini,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Ahmad Dzamir Ahmad Pauzi, 39, berkata JER antara inisiatif Kerajaan Negeri yang terbaik kerana mampu mengurangkan beban rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

“Saya harap Kerajaan Negeri hari ini kekal supaya program seperti ini terus dilaksanakan pada masa akan datang dengan pelbagai penambahbaikan.

Ahmad Dzamir Ahmad Pauzi, 39, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

“Saya berpuas hati dengan jualan murah ini apatah lagi barang dijual pada harga mampu milik dan saya juga tidak perlu tunggu lama dengan sistem giliran yang disediakan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Program JER adalah kesinambungan Jelajah Ehsan Rakyat yang dijenamakan semula pada 1 Jun 2023 dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Puchong di Dewan Serbaguna MBSJ Bandar Bukit Puchong pada 15 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

 

 


Pengarang :