Trek di Taman Rekreasi Wawasan, Puchong sedang dinaik taraf menerusi Projek Selangor Penyayang bagi DUN Kinrara. Foto Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara
ADNSELANGOR

DUN Kinrara belanja RM500,000 naik taraf tujuh kemudahan awam

SHAH ALAM,15 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara memperuntuk sejumlah RM500,000 untuk melaksanakan tujuh projek membaik pulih kemudahan awam pada tahun ini.

Penyandangnya Ng Sze Han berkata prasarana yang siap dibina di bawah Projek Selangor Penyayang (PSP)  ialah bumbung hentian bas di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Perdana dan laluan pejalan kaki dari Setiawalk ke Bandar Puteri 1.

“Semua naik taraf di bawah projek ini adalah permintaan penduduk yang sering menggunakan kemudahan tersebut serta cadangan ahli majlis.

“Fokus diberikan kepada penduduk kerana sering menggunakan kemudahan disediakan dan tindakan perlu diambil demi memastikan keselamatan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata projek lain yang sedang dilaksana ialah naik taraf trek di Taman Rekreasi Wawasan, membina laluan pejalan kaki di Jalan Kenari Bandar Puchong Jaya dan memasang pagar keselamatan Anti-Climb berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kinrara.

“Turut dinaik taraf ialah bahu jalan Taman Kinrara Seksyen 1 dan memasang susur tangan di laluan pejalan kaki BK9 Bandar Kinrara,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan 2023 mengumumkan RM28 juta diperuntukkan bawah PSP sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf prasarana serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :