Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pertandingan inovasi masakan antara tarikan pesta buku kanak-kanak

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pertandingan inovasi masakan kanak-kanak antara tarikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2023 yang bakal berlangsung di Kompleks PKNS di sini dari 27 hingga 30 Julai ini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menerusi Facebook memaklumkan acara diadakan di Pentas 1 pada 30 Julai itu terbuka kepada ibu bapa atau mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Peserta perlu menyediakan masakan menggunakan sekurang-kurangnya satu jenis sayur dan ayam sebelum perlu menyusun serta menghias menu tersebut di lokasi pertandingan.

Selain itu, pertandingan Junior Master Chef bersama Persatuan Taska Negeri Selangor dengan kerjasama Kids Campus dijadualkan pada 27 Julai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari di lokasi sama.

Orang ramai yang berminat boleh melayari Facebook PPAS atau laman web https://www.ppas.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada 30 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Mesir.


Pengarang :