EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (tiga, kiri) bersama pegawai Invest Selangor Berhad selepas melawat kilang Dassault Aviation di Bordeaux, Perancis pada 17 Jun 2023. Foto Facebook Chang Khim
AGENSISELANGOR

Syarikat aeroangkasa luar negara intai peluang pelaburan di Selangor

SHAH ALAM, 20 JULAI: Beberapa syarikat aeroangkasa luar negara mengintai peluang pelaburan di Selangor hasil pertemuan bersama pada Pameran Udara Paris baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) Dato’ Hasan Azhari Idris berkata ia melibatkan syarikat yang mengendali teknologi ruang udara tanpa pemandu (UAS), pembekal perkhidmatan, sistem avionik dan simulasi kapal terbang.

“Mereka menyatakan hasrat ingin melabur di Selangor. Ini adalah prospek pelaburan yang dapat dilihat,” katanya menambah mesyuarat susulan akan dibuat bagi membincangkan lebih lanjut berhubung perkara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dalam sidang media di Pasaraya ST Rosyam, Shah Alam pada 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ketika dihubungi menjelaskan pertemuan dengan syarikat terlibat dalam teknologi UAS memfokuskan penggunaan dron untuk pengangkutan barang dan aplikasi lain berkait industri penerbangan.

Hasan Azhari berkata pertemuan dengan penyedia perkhidmatan pula menumpukan aspek logistik dan pengangkutan selain firma latihan dan perundingan serta institusi kewangan.

“Sistem avionik melibatkan pembangunan sistem navigasi, peralatan komunikasi dan sistem pengawasan pesawat terbang, manakala perkhidmatan simulasi kapal terbang untuk latihan juruterbang di rantau ini,” katanya.

Pada 30 November lalu, EXCO pelaburan memaklumkan bidang aeroangkasa terus berkembang di Selangor merangkumi 67 peratus daripada keseluruhan industri yang bertapak di negeri ini.

Dato’ Teng Chang Khim berkata peningkatan empat peratus daripada 63 peratus jumlah yang direkodkan tahun sebelumnya merupakan kebanggaan dan kejayaan dalam usaha mengukuhkan negeri sebagai hab aeroangkasa.


Pengarang :