Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pesta buku kanak-kanak hujung bulan ini, sedia banyak aktiviti menarik

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 JULAI:  Pelbagai aktiviti kekeluargaan menarik menanti pengunjung sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor yang bakal berlangsung di Kompleks PKNS di sini dari 27 hingga 30 Julai ini.

Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata pihaknya menyediakan aktiviti yang memberi keseronokan seisi keluarga serta merangsang perkembangan minda kanak-kanak.

“Selain menawarkan bahan bacaan kanak-kanak yang berkualiti dan terkini, PPAS menyediakan aktiviti yang membantu perkembangan kanak-kanak bermula dari bayi hingga ke remaja.

“Aktiviti yang disediakan membabitkan penglibatan anak-anak bersama ibu bapa sekali gus mengeratkan hubungan antara ahli keluarga,” kata Zafrullah Aris kepada Selangorkini.

Foto Facebook PPAS

Mengulas lanjut, beliau berkata acara yang julung kali diadakan di negeri ini akan disertai lebih 100 pempamer terdiri daripada penerbit dan penulis buku genre kanak-kanak yang menghasilkan karya untuk peringkat umur bawah 18 tahun.

Pada 30 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Mesir.

Foto Facebook PPAS

Pengarang :