KLANG, 20 JULAI: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan diperluas ke 12 lokasi sehari mulai 1 Ogos hingga akhir tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pertambahan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) berbanding sembilan lokasi ketika ini, diharap memanfaatkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan Negeri memberi mandat kepada PKPS untuk terus menganjurkan jualan murah ini. Kita komited untuk terus meringankan beban rakyat.
“Dari sembilan lokasi sehari, kita tambah kepada 12 kawasan sehari. Jika dapat sambutan menggalakkan, kita boleh buat di 15 lokasi. Tumpuan diberikan di penempatan B40 seperti pangsapuri,” katanya pada program JER Parlimen Kota Raja di sini, hari ini.
Mohamad Khairil berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan beberapa pihak bagi menambah baik program termasuk menambah jenis barangan dijual.
“Kita sudah berbincang dengan dua tiga pihak. Setakat ini JER diadakan dengan kerjasama kementerian perdagangan dan kos sara hidup, penyelaras parlimen serta pihak berkuasa tempatan
“Sekarang jualan melibatkan enam produk utama antaranya ayam, telur dan beras tetapi selepas ini kita bakal tambah gula, garam,” katanya.
JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Mulai minggu lepas, PKPS mula menjual minyak masak paket dan daging kiub di beberapa lokasi terpilih.
PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.
Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.