Penyokong mendengar ucapan ketika pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat DUN Batu Tiga di Pusat Khidmat Rakyat DUN Batu 3, Shah Alam pada 9 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat mahu individu, ahli politik main isu 3R kena tindakan tegas

SHAH ALAM, 20 JULAI: Rakyat Selangor mahu tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) terutama dalam kempen pilihan raya negeri (PRN).

Peniaga Jasmin Ali, 69, berpendapat ada segelintir individu tidak sensitif dan memandang ringan isu terbabit meskipun ia termaktub dalam prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.

Jasmin Ali

“Tidak kira individu itu orang biasa atau orang politik, kalau sentuh juga 3R mereka wajar kena tindakan kerana menyalahi undang-undang.

“Undang-undang ini tidak mengira waktu dan perlu diteruskan sama ada sebelum atau selepas kempen PRN. Kalau langgar juga, bermakna mereka tidak hormat Rukun Negara,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pekerja swasta Nur Zila Md Daud, 52, bimbang perpaduan negeri dan negara boleh tergugat sekiranya isu berkenaan terus disentuh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai rakyat kita harus menghormati institusi diraja. Isu seperti ini tidak boleh disentuh kerana boleh huru-harakan perpaduan dikecapi selama ini,” katanya.

Bagi suri rumah Madam Wong, 70, dia tidak mahu keharmonian rakyat terjejas hanya kerana tindakan segelintir pemimpin politik yang memainkan isu berkenaan.

“Masyarakat kita sebenarnya hidup dalam suasana harmoni, cuma sesetengah pemimpin parti politik yang kadangkala sengaja memecah-belah rakyat,” katanya.

Pada 19 Jun, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan calon dan penyokong parti politik tidak memainkan isu agama dan kaum ketika berkempen.

Baginda turut bertitah kumpulan berkenaan tidak mencaci, memfitnah dan mengadu domba pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat negeri ini.


Pengarang :