Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan sumbangan dana pertandingan International Young Inventors Awards kepada wakil PIBG SMK TTDI Jaya ketika majlis serahan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. FOTO MBI
AGENSISELANGOR

89 peserta tuisyen percuma, cemerlang SPM terima sumbangan MBI

SHAH ALAM, 21 JULAI : Seramai 89 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu bakal menerima sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Korporat Komunikasi MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata semua pelajar itu juga adalah penerima manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

“Mereka ini antara yang memperoleh keputusan SPM 8A dan ke atas selain merupakan penerima faedah daripada program Kerajaan Negeri iaitu PTRS.

“Kita akan berikan sumbangan berbentuk tunai RM500 termasuk meraikan mereka dalam satu majlis di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan modul PTRS kepada 46 sekolah dalam daerah Petaling di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18 di sini hari ini.

Pada 6 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bilangan pelajar yang menerima manfaat program tuisyen percuma meningkat 10 kali ganda sejak pentadbiran Pakatan Harapan menyelaras inisiatif itu dengan 65,000 mengikutinya setakat ini.

Tahun lalu, sebanyak RM7 juta diperuntuk untuk menjayakan PTRS bagi memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Program itu diperkenal secara dalam talian bagi membantu pelajar ketika negara dilanda pandemik Covid-19.


Pengarang :