Peserta pakaian beragam dari Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam mengenakan busana tradisional masyarakat berbilang kaum sempena Karnival Kanak-Kanak Negeri Selangor 2023 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pertandingan pakaian beragam di Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor

SHAH ALAM, 22 JULAI: Bapa dan anak berusia 12 tahun ke atas dipelawa menyertai pertandingan pakaian beragam sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor di Kompleks PKNS di sini.

Ketua jawatankuasa aktiviti pesta buku memaklumkan pertandingan yang diadakan pada 29 Julai jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM1,000.

Menurut Norelmin Sapuan, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM200 diikuti tempat kedua (RM150), tempat ketiga (RM100) dan 12 hadiah saguhati (RM50).

“Penyertaan adalah percuma, bapa dan anak wajib lengkap berpakaian mengikut tema iaitu pakaian tradisional Malaysia yang disediakan oleh peserta sendiri.

“Bagaimanapun, pakaian berlawanan jantina sama sekali tidak dibenarkan dan masa persembahan atau peragaan pula sekurang-kurangnya tiga hingga lima minit,” katanya ketika dihubungi.

Kanak-kanak teruja memilih komik yang dijual ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 30 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Siti Yusrina di talian 017-295 5303 atau Amirah 013-220 6598.

Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal berlangsung dari 27 hingga 30 Julai ini.

Acara yang julung kali diadakan di negeri ini akan disertai lebih 100 pempamer terdiri daripada penerbit dan penulis buku genre kanak-kanak yang menghasilkan karya untuk peringkat umur bawah 18 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) selepas menyampaikan hadiah program tokoh nilam peringkat daerah Petaling Perdana pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada 30 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Mesir.


Pengarang :