Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim air percuma masih dilaksana, manfaat hampir 4 juta pengguna (VIDEO)

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Selangor menafikan kenyataan putar belit dan fitnah yang ditabur golongan tertentu bahawa program air percuma sudah dihentikan.

Dato’ Menteri Besar berkata pemberian air percuma masih dilaksanakan di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan manfaat tersebut dinikmati hampir 4 juta pengguna.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, program meringankan beban rakyat yang berjalan hampir 10 tahun itu turut ditambah baik serta diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Setelah pelaksanaan program ini hampir 10 tahun, Kerajaan Negeri menyelaras semula bagi memastikan kedudukan kewangan Air Selangor mampan untuk melaksanakan program pertukaran paip.

“Malah penyelarasan ini juga dilaksanakan bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan dapat terima manfaat. Sebelum ini, pengguna yang mempunyai rumah banglo di Bukit Damansara turut menikmati skim air percuma sama seperti pengguna di Flat PPR Lembah Subang.

“Dengan penyelarasan semula ini, mereka yang berpendapatan RM 5,000 ke bawah sahaja menerima manfaat ini,” katanya di Twitter.

Bermula 1 Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri mengubah syarat kelayakan air percuma 20 meter padu setiap bulan dengan menaikkan had maksimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM5,000 ke bawah.

Syarat kelayakan lain meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja.

 


Pengarang :