Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat puji usaha negeri perluas skim air percuma kepada M40

GOMBAK, 31 OGOS: Perluasan skim air percuma kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 membuktikan Kerajaan Negeri tidak mengenepikan golongan berpendapatan sederhana (M40).

Peniaga Shafie Husin, 50, berkata beliau bersyukur kerana Kerajaan Negeri sentiasa peka dan memahami bebanan yang ditanggung golongan tersebut.

Shafie Hussin

“Pada zaman ekonomi yang tidak menentu ini, saya berasa amat lega apabila skim air percuma ini turut diberikan kepada kami.

“Saya berharap lebih banyak inisatif turut diberikan kepada kami, terutamanya menjelang Belanjawan Selangor akan datang,” katanya yang ditemui ketika  program Jasamu Dikenang Sempena Hari Kemerdekaan ke- 65 di Balai Penghulu Mukim Batu, di sini hari ini.

Sementara itu, kerani swasta, Maizatul Hawani Hamdan, 40, berkata golongan M40 juga perlu dibantu kerana ada isi rumah yang mempunyai tanggungan tinggi.

Maizatul Hawani Hamdan

“Bukan semua M40 itu orang kaya. Ada diantara mereka yang hanya bekerja seorang dan perlu menanggung isteri dan anak-anak ramai.

“Jadi, saya melihat usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mereka ini adalah sesuatu yang amat baik,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengumumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan itu berikutan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

Ketika ini, sebanyak 237,000 akaun pengguna menikmati Skim Air Darul Ehsan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024.

Syarat kelayakan lain meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :