Setiusaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar Rahim Kasdi menyampaikan baucar halal dan insentif haji muasasah kepada penduduk DUN Gombak Setia di Dewan Ahli Majlis JKP zon 5 Taman Selaseh Gombak pada 2 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga Gombak Setia terima baucar halal, insentif haji, dana sambung pengajian

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 2 OGOS: Seramai 100 penduduk kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menerima baucar halal di Dewan Ahli Majlis JKP Zon 5, Taman Selasih hari ini.

Baucar beli-belah barangan berlogo halal di pasar raya terpilih bernilai RM100 setiap satu disampaikan setiausaha politik kawasan Dato’ Menteri Besar.

Dalam program sama, Rahim Kasdi turut menyerahkan sumbangan insentif haji muassasah RM500 kepada 29 pemohon di DUN Berkenaan yang telah selesai menunaikan ibadah haji.

Turut diserahkan ialah bantuan RM1,000 kepada dua pelajar memerlukan yang menyambung pelajaran ke kolej vokasional.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan 2023 mengumumkan dana RM1 juta bagi pelaksanaan baucar halal yang memberi manfaat serampang dua mata.

Selain meningkatkan pengeluaran kepada penggiat industri produk halal, bantuan itu juga dapat membantu  8,000 penduduk kurang berkemampuan mendapatkan barangan asas.

Insentif haji muassasah pula diberikan kepada 3,000 bakal jemaah haji muassasah yang memerlukan tahun ini, khasnya kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).


Pengarang :