Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tawaran Kita Selangor kembang ekonomi, manifesto PN tumpu pemberian langsung

SHAH ALAM, 8 OGOS: Tawaran Kita Selangor berupaya mengembang dan merancakkan ekonomi negeri berbanding manifesto Perikatan Nasional (PN) yang cenderung bersifat pemberian langsung.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN)menekankan aspek kelestarian, membugar ekonomi dan menyelesaikan isu kebajikan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui HARAPAN-BN ada menyediakan pemberian langsung antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) tetapi turut memuatkan perancangan ekonomi.

Memberi contoh, beliau menjelaskan pembinaan rel ke utara negeri dan dari selatan Selangor ke Putra Heights membawa limpahan kemajuan ke kawasan sekitar termasuk pembukaan bandar baharu.

“Manifesto PN mereka tiada kesungguhan dari aspek pembangunan dan pembugaran ekonomi, hanya sebut pemulihan RM2 bilion,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap petang semalam.

Amirudin berkata Tawaran Kita Selangor membuka ruang untuk membangunkan set pekerja tempatan berkemahiran tinggi yang diperlukan pelabur luar sekali gus berpeluang menikmati gaji besar.

“Bezanya PN dalam program ekonomi, mereka mahu tarik pelabur luar yang bawa teknologi tinggi tetapi isu besarnya adakah kita ada sumber manusia berkelayakan untuk mengisi ruang itu?

“Itu yang saya rasa agak lompong di situ,” katanya merujuk kelemahan manifesto PN ketika menjawab beberapa soalan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan dalam program tersebut.

Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Selangor memuatkan pelbagai bentuk bantuan dan perancangan bagi membangunkan negeri demi keselesaan rakyat.

Dilancarkan pada 31 Julai lalu, dokumen itu merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada termasuk sebahagiannya terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).


Pengarang :