Oleh Shamz Johan
AMPANG JAYA, 12 OGOS: Kehadiran beberapa selebriti di pusat mengundi memberi isyarat kepentingan membuang undi pada pilihan raya negeri hari ini.
Calon Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli berkata golongan itu mampu mempengaruhi orang ramai dan peminat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Mereka mempunyai pengaruh dan pengikut yang ramai, sedikit sebanyak kehadiran mereka memberi signal (isyarat) kepada orang awam betapa pentingnya untuk mengundi,” katanya.
Beberapa selebriti yang ditemui ialah bekas ahli kumpulan Elite, Sasha Saidin. Beliau yang kini menetap di Dubai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat.
Pelakon Adam Corrie pula membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Permata manakala Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA yang membuang undi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate.
Selain itu, rapper yang juga calon Lembah Jaya Altimet membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat di sini hari ini.
Juwairiya menambah kehadiran pengundi masih perlahan di beberapa pusat pembuangan undi walaupun ada pusat pembuangan undi yang dibuka seawal 7.30 pagi.
“Tidak seperti Pilihan Raya Umum lalu, walaupun begitu, masih ada masa lagi, jadi saya menyeru warga Hulu Kelang untuk menunaikan tanggungjawab kerana ia akan menentukan keputusan (kerajaan) kelak,” katanya lagi.