Calon Pakatan Harapan (HARAPN) yang juga penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat selepas mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Ampang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat pada 12 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Altimet menang kerusi Lembah Jaya, teruja mulakan tugas

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Penyanyi rap terkenal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali dengan nama Altimet, menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dengan majoriti 6,678 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, hari ini.

Altimet yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 26,298 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Sharifah Haslizah Syed Ariffin yang mendapat 19,620 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zafrul Fazry Mohd Fauzi di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Kampung Ampang Indah di sini malam ini.

Kemenangan Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang itu menyaksikan beliau berjaya mempertahan kerusi dimenangi PH menerusi Haniza Talha dengan majoriti 14,790 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Majlis Pimpinan Pusat PKR dengan syor Lembaga Disiplin bagaimanapun melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza pada Jun 2020.

Altimet ketika ditemui media malam ini mengakui teruja untuk memulakan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau juga mahukan penduduk di Lembah Jaya memanggilnya dengan nama Ahmad, berbanding nama pentasnya.

Kemenangan Altimet menyaksikan beliau menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira Abu Zahar yang memenangi DUN Rim pada PRN Melaka, Nov 2021.

– BERNAMA


Pengarang :