Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) berpelukan bersama penyokong selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 di Hotel Wyndham, Klang pada 12 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

HARAPAN-BN Selangor bentuk kerajaan, dekati majoriti dua pertiga

SHAH ALAM, 13 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor menang 34 daripada keseluruhan 56 kerusi untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan keputusan tersebut mendekati dua pertiga majoriti jika menang empat lagi kerusi yang tewas dengan majoriti tipis.

Dalam kempen pilihan raya, beliau yakin dapat mencapai majoriti dua pertiga, atau 38 kerusi, namun empat kerusi tewas tipis bawah 500 undi.

Kerusi tersebut ialah Taman Medan yang kalah dengan majoriti 30 undi, Gombak Setia (58 undi) dan Sungai Kandis (167 undi) dan Dengkil (407 undi).

Beliau yang juga pengerusi HARAPAN berkata rakyat Selangor membuat keputusan tepat dengan mengiktiraf Pasukan Perpaduan dalam pilihan raya negeri yang berakhir semalam (12 Ogos).

“Pasukan Perpaduan yang baru dibentuk tiga bulan yang lalu di Selangor ternyata berjaya menewaskan gelombang hijau yang telah direkayasa semenjak Februari 2020,” katanya dalam sidang media tengah malam ini.

Berterima kasih kepada seluruh pengundi di negeri ini, Amirudin menambah Kerajaan Perpaduan Selangor sedia untuk melaksanakan semua perancangan dan dasar yang ditawarkan sebelum ini.

Beliau juga menggesa semua pihak supaya menghormati mandat rakyat dan menghentikan segala adu domba yang bersifat memecah belah masyarakat dan menganggu-gugat kestabilan negeri.

“Kerajaan Perpaduan ini akan mewakili setiap rakyat Selangor tanpa mengira fahaman politik mereka,” katanya.


Pengarang :