Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan air enam kawasan mulai pulih sejak pagi, akan disalur berperingkat

SHAH ALAM, 13 OGOS: Bekalan air di enam kawasan yang terjejas mulai pulih berperingkat-peringkat selepas empat loji rawatan air (LRA) beroperasi sepenuhnya pada jam 8.30 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan di Facebook bekalan air akan disalurkan apabila sistem agihan bekalan distabilkan bermula jam 12 tengah hari.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Air Selangor terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya.

Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan terjejas di laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ atau aplikasi Air Selangor.

Semalam, operasi LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3 terjejas berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi akibat aliran kepala air.

Susulan itu, pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bersih.


Pengarang :