SHAH ALAM, 17 OGOS: Sekurang-kurangnya 10 mangsa termasuk orang kenamaan dikhuatiri maut dalam nahas pesawat ringan di Elmina Central Park Seksyen U16 Shah Alam hari ini.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan dua kru dan enam penumpang pesawat selain seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta terbunuh.
Bagaimanapun, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi berkata pihaknya masih menunggu maklumat polis berkaitan kemungkinan ada lebih daripada seorang individu berada dalam kereta tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan setakat jam 5.15 petang ini hanya mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sebuah pesawat terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina dekat sini.