Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat BN tekad beri khidmat terbaik selepas dilantik EXCO

KLANG, 22 OGOS: Wakil rakyat Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN) bersyukur atas pelantikannya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas 15 tahun gabungan itu berada di luar kerajaan.

Justeru, Datuk Rizam Ismail bertekad untuk menggunakan pengalamannya sebagai bekas ketua pembangkang Selangor dan mantan setiausaha politik menteri bagi membantu pentadbiran negeri.

“Sudah pasti kemasukan saya selaku Ahli Dewan Negeri BN bagi membantu memperkasa Kerajaan Negeri. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk Selangor,” kata ketua Pemuda Umno Selangor itu.

Beliau menjadi ketua pembangkang negeri pada 2018 hingga Dewan Negeri Selangor dibubar selain selain berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam tempoh sama.

Pelantikan itu susulan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan BN menang 34 daripada 56 kerusi dalam pilihan raya negeri. Beliau antara dua wakil BN yang menang dua daripada 34 kerusi tersebut.

Seramai 10 ahli MMKN termasuk tujuh muka baharu mengangkat sumpah depan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah, Klang semalam.

 


Pengarang :