Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas perhimpunan bulanan penjawat awam dan pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 22 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB garis tiga dasar jadikan Selangor terus gemilang

SHAH ALAM, 22 OGOS: Dato’ Menteri Besar menggariskan tiga dasar yang harus dilaksana dalam penggal ini bagi meneruskan kecemerlangan dan pembangunan negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata asas pertama merupakan pelaksanaan segala rangka dan dasar yang dirancang seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Jelasnya, usaha meneruskan kesinambungan itu tidak hanya melibatkan pentadbiran tertinggi sahaja tetapi harus disokong penjawat awam, anak syarikat dan golongan akar umbi.

“Kedua kesediaan kita bertindak sebagai pasukan. Selepas faham segala dasar, sikap bekerja sebagai pasukan penting. Semua kena tahu tugas masing-masing sama ada persekutuan atau negeri kerana rakyat melihat kerajaan, bukan mengikut jabatan.

“Untuk jadikan kita lebih hebat dan padu dalam melaksana tugas serta tanggungjawab, tanamkan semangat cintai, sayangi dan patriotik kepada negara dan negeri.

“Selain dasar, fahamkan juga sejarah dan latar belakang untuk kita kekalkan keharmonian. Ini tiga cara asas untuk kita terus maju dan bawa Selangor sebagai negeri gemilang,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan penjawat awam serta melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengibar Jalur Gemilang bersama penjawat awam selepas perhimpunan bulanan penjawat awam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 22 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin menambah Kerajaan Negeri juga akan melakukan perubahan dalam corak pengurusan dan tadbir urus ke arah lebih baik demi mendepani cabaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kali ini kita perlu maju ke depan termasuk agenda digitalisasi. Contohnya pengurusan tanah guna e-tanah. Beberapa tahun ini pihak berkuasa tempatan (PBT) buat pusat sehenti elektronik atau dalam talian.

“Kita mampu dan boleh buat perkara ini jadi penggal ini kita akan teruskan apa dirancangan terutama digitalisasi demi pastikan kehidupan terjamin,” katanya.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor juga harus kekal menjadi model dan contoh negeri maju selain pengurusan pentadbirannya disegani seluruh dunia.

“Kita nak penyampaian (perkhidmatan) kita di kelas pertama. Nilai kemanusiaan di kelas tersendiri sesuai dengan kerangka madani,” katanya.

Amirudin turut menyerahkan bendera kepada semua PBT serta pejabat daerah dan tanah sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 hujung bulan ini.


Pengarang :