HULU LANGAT, 3 SEPT: Kualiti barangan setanding pasar raya membuatkan pengunjung sanggup datang berulang kali ke program Jelajah Ehsan Rahmah (JER).
Kakitangan swasta, Muhammad Hazly Aris, 39, berkata beliau yang tinggal di Balakong sanggup datang ke Cheras, Kajang atau Bangi jika program berkenaan dianjurkan di kawasan sekitar.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/JER13-500x353.jpg.webp)
“Rasanya sudah lebih 15 kali datang ke program ini, memang jimat dan barangan juga berkualiti dan segar.
“Walaupun harga murah daripada pasaran mereka beri pelanggan barangan yang berkualiti setanding pasar raya,” katanya ditemui pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Balai Raya TCU, Taman Cheras Utama di sini, hari ini.
Kakitangan swasta Norzela Hussin, 43, berkata beliau datang buat kali kedua kerana puas hati dengan kualiti barangan yang dijual.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/JER10-500x353.jpg.webp)
“Saya baru tahu daripada rakan mengenai program ini jadi cuba beli pada kali pertama dan sangat puas hati dengan kualiti barangan kebetulan hari ini cuti jadi saya datang semula kali ini,” katanya.
Sementara itu Jamal Akhim , 60, yang menawarkan khidmat pemotongan ayam pada harga RM2 seekor pada jualan itu bersyukur kerana boleh menambah pendapatan pada program itu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/JER15-500x340.jpg.webp)
“Pendapatan tidak menentu, pernah juga dapat potong 50 ekor ayam sehari di JER lain dan ada juga lebih sedikit bilangannya. Namun saya bersyukur dapat tambah pendapatan di sini dan pihak penganjur pun tiada halangan,” katanya.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/JER-3-500x327.jpg.webp)
Setakat ini, program itu sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.
PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.