Orang ramai beratur bagi mendapatkan barangan keperluan asas murah ketika program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang, Klang pada 17 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Beras, telur antara produk paling laris di jualan murah DUN Pandamaran

KLANG, 17 SEPT: Beberapa produk utama dibawa pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang dekat sini habis terjual dalam tempoh kurang sejam.

Tinjauan mendapati produk seperti beras, telur dan ayam dijual Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada harga murah mendapat sambutan luar biasa orang ramai yang beratur seawal 9 pagi.

Penolong pengurus belian (sektor perniagaan dan pemasaran) PKPS Amar Muslim Mat Johari memaklumkan produk itu cepat habis berikutan kesukaran memperoleh bekalan di pasaran ketika ini selain harga pasaran luar mahal.

Ahli Majlis Perbandaran Klang Zon 47, Chai Siu

“Untuk beras dan telur kami bawa 200 pek manakala ayam 500 ekor, dengan kesemuanya habis tidak sampai sejam. Kami tidak jangka sambutan sebegini rupa dan
orang ramai sanggup beratur kerana mereka memang memerlukan barangan subsidi ini.

“Malah ada pengunjung minta kami tambah bekalan tersebut. Kami minta maaf kerana barangan dibawa mengikut kapasiti trak selain permintaan wakil rakyat setempat,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang Zon 47, Chai Siu mahu mencadangkan kepada wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee supaya program terbabit diperluas ke kawasan kampung dan pangsapuri kos rendah pada masa akan datang.

Jelas beliau, cadangan itu bagi memudahkan penduduk di kawasan terbabit yang majoriti berpendapatan rendah (B40) mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.

Penolong Pengurus Belian (Sektor Perniagaan dan Pemasaran) PKPS Amar Muslim Mat Johari

“Kadangkala ramai penduduk di kawasan berkaitan tidak mampu untuk memandu jauh ke lokasi JER yang diadakan di bandar dan tiada pengangkutan. Jadi kita kena buat program ini di sana.

“Jika dilaksanakan lebih kerap sekurang-kurangnya seminggu sekali di situ juga adalah lebih baik kerana banyak manfaat bakal diperoleh penduduk,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

 


Pengarang :