KLANG, 17 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan Jelajah Hydro Family on Wheels sempena Ulang tahun keempat agensi itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata program berkonsep santai itu dijadual menjelajah ke tujuh lokasi sejak 1 September hingga 1 Oktober setiap hujung minggu.
Menurut Ir Abas Abdullah pengunjung diberi peluang untuk berkongsi pendapat, bertanya soalan atau mengutarakan isu berkaitan air di kaunter informasi.
“Melalui jelajah ini, Air Selangor berperanan memberi kesedaran dan mendidik pengguna berhubung kepentingan pemuliharaan sumber.
“Jelajah ini juga membuka peluang kepada pengunjung untuk memahami peranan dan tanggungjawab Air Selangor sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat jelajah berkenaan di Aeon Mall Bukit Raja di sini hari ini.
Jelajah itu juga menawarkan aktiviti menyeronokkan seperti mini boling dan swafoto bersama Hydro Family dan maskot BoBoiBoy serta pemberian kopi percuma.
Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif menarik ulang tahun bertemakan siri animasi popular BoBoiBoy seperti rantai kunci, payung, buku nota dan buku aktiviti BoBoiBoy.
Sertai siri jelajah Hydro Family on Wheels yang seterusnya di lokasi berikut:
- Aeon Mall AU2 (23 September)
- PJ Half Marathon, Dataran MBPJ (24 September)
- IOI Puchong Mall (28 September)
- KIP Mart Kota Warisan, Sepang (29 September)
- Aeon Mall Shah Alam (30 September – 1 Oktober)
Untuk maklumat lanjut mengenai jelajah Hydro Family on Wheels boleh layari www.airselangor.com/hydro-family-on-wheels/