Orang ramai boleh mendapatkan bekalan beras lima kilogram (kg) pada harga RM13 di cawangan milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Foto Facebook PKPS pada 26 September 2023.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Beras lima kg harga RM13 dijual di empat cawangan PKPS

SHAH ALAM, 26 SEPT: Orang ramai boleh membeli beras lima kilogram (kg) berharga RM13 di empat cawangan milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Agensi itu memaklumkan di Facebook, beras jenama Ehsan dijual di Wisma PKPS (Seksyen 14 Shah Alam), Ehsan PKPS (Seksyen 9 Shah Alam), Ehsan PKPS (Jalan Muafakat 1, Taman Dato Bandar, Meru) dan Kiosk Ehsan (Selangor Fruit Valley).

Bermula 20 September, PKPS menawarkan bekalan 2,700 kampit beras lima kg di tujuh lokasi setiap hari termasuk tiga lokasi jualan bergerak, Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif itu antara usaha Kerajaan Negeri bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga beras tempatan.

JER yang diperkenal tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :