Pesawah di Sekinchan melakukan penanaman padi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

500 petani, nelayan terima insentif RM1,000 tingkatkan hasil

SHAH ALAM, 4 OKT: Seramai 500 pengusaha tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani dan nelayan di negeri ini akan menerima insentif RM1,000 untuk meningkatkan kadar pengeluaran.

Dato’ Menteri Besar berkata pemberian dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500, manakala baki menerusi imput tanaman, peralatan dan bahan mentah, yang akan diserahkan pada 31 Oktober.

“(Pemberian ini) sebagai langkah membantu komuniti petani dan pesawah serta memberi insentif supaya kadar pengeluaran dapat ditingkatkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Beliau berkata agihan insentif berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Agro Bank Selangor dan Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad.

Perkara tersebut sebahagian daripada lima komitmen utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran Selangor berdasarkan ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Turut diumumkan ialah pengecualian cukai taksiran bagi 426,656 rumah kos rendah dan kampung selain kenaikan elaun bulanan imam, bilal dan siak bermula bulan ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan seluruh jentera Kerajaan Negeri diarah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

Menurut Amirudin, tindakan diambil termasuk mengkoordinasi dan memantau pemakluman kepada rakyat menerusi kerjasama antara Pusat Operasi Smart Selangor dengan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Selain itu, katanya, kemudahan di pusat pemindahan sementara bagi kawasan berisiko bencana turut ditambah baik melibatkan keperluas asas dan bekalan kit makanan buat mangsa.

“Tambahan kepada itu, semua pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya dan jabatan lain yang berkaitan dipertanggungjawab untuk segera membersihkan kolam takungan.

“(Selain itu), saliran, parit dan longkang terutama di kawasan berisiko tinggi banjir bagi membolehkan sistem saliran air berfungsi secara optimum,” katanya lagi.

Selain melibatkan ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, ahli MMKN turut ditugaskan mengikut skop berikut:

Tambahnya, negeri juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan Universiti Tohuku bagi mengurangkan risiko di peringkat lokaliti melibatkan komuniti tempatan.

 

 


Pengarang :