Orang ramai mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 4 Oktober 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 700 hadir jualan murah negeri, beratur seawal 6.30 pagi

GOMBAK, 4 OKT: Lebih 700 pengunjung hadir membeli barangan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang berlangsung di padang awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Penyelaras program Mohamad Nazif Zulkifli berkata pengunjung mula beratur seawal jam 6.30 pagi untuk mendapatkan kupon pembelian.

“Sambutan jualan murah di Sungai Tua hari ini sangat menggalakkan, kami tiba jam 6.30 pagi tadi, 150 orang telah mula beratur jadi kami agihkan kupon lebih awal.

Penyelaras PKPS Mohamad Nazif Zulkifli

“Selepas kupon diagihkan, ramai yang sanggup menunggu sehingga sejam lebih lagi kerana kaunter jualan hanya dibuka 10 pagi menunjukkan penduduk tidak mahu lepaskan peluang dapatkan barangan dapur pada harga murah,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau memaklumkan beras Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) antara barangan paling laris sebanyak 400 pek habis terjual.

“Ayam juga sebanyak 500 ekor habis dijual, kami hadkan belian untuk memastikan setiap 350 pengunjung menerima kupon berpeluang membeli dua item yang mendapat permintaan tinggi buat masa ini,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :