Tangkap layar temu bual Ketua Divisyen Ekonomi dan Kewangan MBI Zannifa Azura Ahmad pada program bertajuk SABDA: Hab Logistik dan Pertanian Pintar Selangor yang disiarkan di Astro Awani pada 4 Oktober 2023.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelabuhan pendaratan ikan dibangun di Sungai Lang, Sekinchan

SHAH ALAM, 5 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membangunkan dua pelabuhan pendaratan ikan di Sungai Lang dan Sekinchan menerusi projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA).

Ketua Divisyen Ekonomi dan Kewangannya berkata pembangunan di Sungai Lang dengan kerjasama syarikat swasta menelan belanja hampir RM100 juta bagi fasa pertama dan boleh beroperasi dalam masa 12 bulan selepas diluluskan.

“Mereka bersetuju untuk sama-sama membangunkan pelabuhan mengikut standard pensijilan Kesatuan Eropah (EU) kerana kita hendak bawa ikan tuna dan ikan laut dalam. Semestinya kapal yang datang juga bukan kapal biasa.

Ketua Divisyen Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Zannifa Azura Ahmad

“Dengan reka bentuk pelabuhan menarik, fasiliti moden dan hendak jadikan ia pembangunan mampan perlu ada satu standard. Kriteria ini yang akan menarik pelabur luar,” kata Zannifa Azura Ahmad.

Beliau demikian pada program bual bicara SABDA: Hab Logistik dan Pertanian Pintar Selangor di Astro Awani malam tadi.

Bagi pembangunan di Sabak Bernam pula, ketua pegawai kewangan MBI itu berkata ia tidak menjejaskan kawasan itu yang mempunyai 40 peratus hutan simpan selain turut mengikut standard EU.

Jelas Zannifa Azura, kawasan itu akan didalamkan dan diluaskan bagi membolehkan lebih banyak bot masuk menerusi bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Industri Perikanan Sekinchan dan Persatuan Nelayan Sekinchan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

“Buat masa ini, bot yang masuk satu persatu dan apabila air surut atau pasang tersekat serta sesak. Ini mengakibatkan berlakunya kelewatan menghantar tangkapan sekali gus menjejaskan kualiti ikan kepada pengedar.

“Dengan kerjasama bersepadu ini, pelabuhan ini juga dilengkapi dengan rantaian pembekalan iaitu sistem yang berupaya menjejaki pemprosesan dan pengedaran ikan.

“Malah, unjuran 10 tahun akan datang hasil tangkapan nelayan akan meningkat kepada 300 peratus dan 400 bot boleh berlabuh berbanding 200 pada masa kini serta 1,300 tan ikan sehari bagi setiap bot,” jelasnya.

Jun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan dua projek perikanan berskala besar bawah SABDA dijangka mampu menarik pelaburan sekitar RM600 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berdampak tinggi yang dijangka siap pada 2027 juga bakal mencipta lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun di daerah berkenaan.

Terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), beliau berkata projek itu meliputi pembangunan agro bernilai tinggi bagi mencapai matlamat keterjaminan makanan jangka panjang untuk pasaran tempatan.


Pengarang :