Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas menyampaikan cenderahati kepada Pengarah SPRM Selangor TPj Dato’ Alias Salim ketika majlis Jalinan Kerjasama Strategik antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKNS, SPRM jalin kerjasama kukuh integriti, didik warga kerja amal sikap telus

SHAH ALAM, 5 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini untuk mengukuh integriti.

Ketua pegawai eksekutif PKNS berkata kerjasama merupakan usaha mendidik warga kerjanya mengamalkan sikap telus dan beretika dalam menjalankan operasi pentabiran serta aktiviti harian perniagaan.

“SPRM akan membantu PKNS membaiki tatakelola buat seluruh warga kerja kami melalui bimbingan program atau latihan meningkatkan amalan tadbir urus yang baik.

“Kami juga sedia memberi kerjasama membantu SPRM dalam siasatan berkaitan isu rasuah melibatkan warga kerja kami sekiranya ada laporan dibuat,” kata Dato’ Mahmud Abbas.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan serahan notis kerjasama strategik kepada Pengarah SPRM Selangor Dato’ Alias Salim pada program Konferensi Integriti PKNS 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sementara itu, Mahmud berkata seramai 300 peserta menyertai seminar Konferensi PKNS Integriti 2023 yang bertujuan memberi kefahaman mengenai integriti dan rasuah.

“Peserta terdiri daripada seluruh warga kerja PKNS daripada 13 anak syarikat, kontraktor, perunding dan pembekal yang mendengar perkongsian serta pendapat daripada Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Selangor,” katanya.


Pengarang :