Lori KDEBWM yang digunakan untuk mengutip sampah domestik di seluruh negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Operasi pembersihan sisa tengah malam di kawasan komersial bakal diperluas

SHAH ALAM, 6 OKT: Operasi pembersihan sisa pepejal mulai tengah malam akan diperluas ke beberapa lagi kawasan komersial di negeri ini, maklum pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata ketetapan itu diambil susulan operasi kutipan sisa di kawasan komersial SS14 dan SS15, Subang Jaya pada waktu berkenaan berjalan lancar.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kajian operasi pengurusan sisa dan inisiatif kitar semula di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 6 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita telah buat (kutipan sisa pepejal dari tengah malam hingga awal pagi) di Subang Jaya. Ia dilihat berjaya sebab biasanya kawasan komersial penuh dengan kereta pada waktu pagi dan menyukarkan kerja pembersihan.

“Jadi kita sedang melihat lagi di beberapa kawasan komersial lain khususnya Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya. Jika ia lebih mudah serta efektif, kita tidak menolak kemungkinan menukar jadual dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Pada 13 September, Ramli memaklumkan pembersihan pada tengah malam hingga awal pagi dilaksanakan di SS14 dan SS15, Subang Jaya selepas diusul wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze.

Ia berikutan kesukaran dihadapi kontraktor membersihkan sisa dari kawasan terbabit pada waktu pagi hingga tengah hari disebabkan jalan dipenuhi kenderaan.


Pengarang :